"Mak su, nenek suruh bagi kertas dan buku ni. Dia jumpa dalam kotak kat stor.", ujar Mia, anak buahku sambil menghulurkan beberapa helai kertas dan dua buah buku kepadaku. Mia terus berlalu keluar dari bilikku setelah aku mengucapkan terima kasih padanya. Aku melangkah ke katil dan membaringkan diriku. Aku mencapai telefon bimbitku di tepi bantal dan memasang lagu Puteriku Sayang dendangan Hijjaz. "Sambil-sambil dengar nasyid ni. boleh gak aku tengok apa yang Mia bagi tadi.",fikirku lalu meletakkan buku-buku tadi di sisiku dan membuka lipatan kertas yang masih di tanganku.
"Allahuakhbar !", terpacul kalimah Allah daripada bibirku. Serta-merta tanganku menggigil, air mataku mengalir sepertimana hujan lebat di luar. "Allah ! Allah ! Allah ! Kuatkan aku.", suara hatiku menjerit memohon dikuatkan oleh Allah. Helaian kertas yang terjatuh ke lantai aku kutip semula. Aku tatap lama. Terlihat wajah seorang insan yang pernah aku sayang, yang pernah memberikan aku harapan suatu masa dulu. Batinku menjerit, aku sedih dan aku tak tahu kenapa. Allah, terasa sudah lama aku tidak mengenangnya, tapi hari ini aku dikejutkan dengan foto-fotonya yang tercetak di atas helaian kertas yang ditemui oleh ibuku bersama tulisan ayat-ayat cinta yang dulu pernah aku tintakan buat dia.
Dua tahun lalu, dia pernah berjanji untuk bersamaku dalam suka dan duka. Dua tahun lalu, dia pernah berjanji untuk setia bersamaku. Dia pernah berjanji untuk tidak menduakanku. Tidak sekali-kali dia akan pergi jauh dariku. Janji manisnya, di hatinya hanya ada aku ! Hanya aku permaisuri hatinya. "Even if you're old and grey, through hell and high water, we will always be together.", selalu itu yang dia ucapkan padaku. Andai aku kesedihan, dialah yang menenangkan aku. Membuat aku bersabar tika kemarahan mula menyapa jiwa. Memujukku dengan ayat-ayat cinta saat hati merindukan dia. Sungguh, aku bahagia di waktu itu. Sebulan kami bersama melayari cinta yang bersemi tanpa dipinta. Indahnya dunia saat itu, dunia bagaikan milik kami berdua tanpa ada orang yang mampu merampasnya daripada aku dan dia.
Namun, bahagia yang dikecapi itu tidak kekal lama, bahagia yang diraih itu hanya sementara. Lumrah bercinta di alam remaja, pasti ada saja pihak yang tak setia. Bergetar tubuhku melihat dia berjalan berpimpinan tangan bersama seorang perempuan. Hari itu, hari yang mencatatkan nota hitam buatku. Dia berpura-pura tidak mengenaliku ketika berjalan melintasi bangku tempatku berehat melepaskan lelah, dan di tempat yang sama aku melihat dia terang-terangan menduakan cintaku. Malam itu aku ingin menuntut penjelasannya, aku menagih janjinya, semuanya aku lakukan kerana aku ingin dia kembali padaku.
"Safa, saya betul-betul minta maaf kat awak. Awak ingat kan, mula-mula kita kenal dulu saya pernah bagitahu awak yang saya minat kat seseorang. Tapi masa tu, that girl ada boyfriend. Dah lama saya suka dia, dia pun tahu yang saya sukakan dia. Dulu dia tak boleh balas cinta saya sebab boyfriend dia. Sekarang, dia dah tinggalkan boyfriend dia demi saya. Dia cakap dia tak boleh teruskan hubungan dengan that boy sebab hati dia hanya untuk saya. Saya minta maaf, saya rasa segala janji-janji yang pernah kita ucapkan tu sebenarnya hanyalah untuk saya mengubati hati saya saat terluka kecewa dengan dia. Maaflah, sebab selama ni saya bayangkan awak sebagai dia. Maaf sangat-sangat. Saya tahu awak kecewa, awak marah, awak sedih, tapi saya sayang dia. Lebih daripada sayang saya pada awak, dan mungkin saya jatuh sayang kat awak sebab hati saya masa tu tengah terluka. Saya harap awak faham. Dia dah tinggalkan lelaki tu demi saya, dan kenapa tidak saya tinggalkan awak demi dia? Demi orang yang dah lama saya tunggu? Selamat tinggal, Safa."
Kata-kata itu ibarat ayat-ayat keramat yang sukar ku untukku lupakan. Sejak hari itu, aku bagaikan kucing hilang anak. Wajahku terpamer seribu duka, mataku sembam tiap kali menghadiri kuliah. Namun, siapa peduli? Aku belum berjumpa sahabat yang sanggup bersamamu di waktu duka, di waktu senang sememangnya tak cukup seorang, seribu yang datang. Hari berganti hari, namun dukaku masih sama. Kecewaku tetap ada, tangisan penghibur hatiku. Dua minggu berlalu penuh kekosongan, tanpa gelak ketawa insan itu, hariku sepenuhnya terasa kosong. Aku lemah, aku benar-benar sudah lemah. "Allah!", hatiku menjerit kuat. Allah? Aku tersentak ! Allah? Allah? Tiba-tiba aku merasakan diriku seperti tersedar, tapi tersedar dari apa? Aku tidak tidur ! Aku tidak mengelamun ! Aku seperti takut, tapi aku tak tahu, apa yang aku takutkan? Berhari-hari aku dilanda ketakutan, perasaanku bercampur-baur tidak menentu. Apa ni? Dan aku tiada jawapan untuk itu.
Suatu malam aku bermimpi. Dalam mimpiku aku melihat diriku sendiri, berjubah hitam, bertudung hitam yang labuh. Aku tertanya-tanya sendiri, aku kah itu? Cantiknya aku ! Aku tak pernah membayangkan yang aku berpakaian sebegitu. Ah, itu mimpi ! Tapi mimpiku sungguh aneh, wajah aku yang orang di dalam mimpiku mirip sekali, tetapi dia menyebut namaku ketika berbicara, seolah-olah dia sedang berbicara denganku.
"Assalamu'alaikum warahmatullah Safa. Safa menangis, sedih ya? Safa janganlah menangis lagi, kesian mata dah kembang tu, sayang. Lagipun, tak baik tau Safa. Air mata Safa menangis tu adalah air mata yang tidak dituntut, sebabnya Safa menangis kerana dilukai oleh seorang lelaki yang Safa cintai, sedangkan lelaki itu tidak halal buat diri Safa. Allah tak suka tau sayang. Dua titisan air yang Allah suka adalah titisan darah mujahid dan mujahidah yang berjihad demi agama-Nya dan titisan air mata takutkan Allah kerana dosa yang dilakukan. Safa tak kesian ngan orang yang Allah dah janjikan untuk Safa? Orang yang akan jadi suami Safa nanti. Kalau dia tau, gerenti dia jeles tau.", ujarnya sambil tersenyum. Kemudian dia menyambung bicaranya, "Sayang, dalam hidup ni, tak semua yang kita nak akan jadi milik kita. Tak semua yang kita nak, akan jadi.Al-Baqarah ayat 216 bagitahu macam ni, 'Boleh jadi kamu tidak menyukai sesuatu, padahal itu baik bagimu, dan boleh jadi pula kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu. Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui.' Kita hanyalah merancang, tapi yang menentukannya hanya Allah. Safa nak tau kenapa? Kerana kita ni lemah. Kenapa kita lemah? Kerana kita hanyalah hamba. Allah Tuhan kita, Tuhan yang Esa. Tanpa Dia dalam hati kita, kita akan terus lemah. Sekarang Safa kena kuat tau, lupakan lelaki yang pernah mengheret Safa ke lembah jahannam, dan kembali pada Allah, sayang. Allah mencintai Safa, lebih daripada sesiapa pernah mencintai Safa, cinta Allah kekal selamanya. Allah takkan meninggalkan Safa macam mana lelaki itu meninggalkan Safa. Tanamkanlah dalam hatimu cinta untuk Allah, sayang. Pasti Allah akan membalasnya tanpa mengecewakan Safa sedikit pun. Janganlah terus bersedih. Safa ingat selalu ya, setelah kesulitan pasti ada kemudahan. Sesungguhnya setelah kesulitan pasti ada kemudahan. Yakinlah, sebab bukan saya yang menjanjikan kemudahan itu buat Safa, sebaliknya kekasih agungmu iaitu Allah. Allah menjanjikan itu dalam kalamnya, surah Al-Insyirah ayat 5 dan 6. Janji Allah sentiasa benar, Safa. Janji Allah bukan seperti janji manis yang pernah lelaki itu sulamkan buat Safa. Safa lihat sendiri kan, sekarang dia sudah pergi? Berani-beraninya dia mungkir janji kat Safa. Sekarang Safa lupakan dia. Ini ujian buat Safa tau. Mungkin dengan cara ini Allah ingin datangkan hidayah-Nya buat Safa? Dengan kekecewaan ini, Allah nak Safa kembali pada-Nya? Siapa yang tahu, sayang. Ini kerja Allah, tandanya Allah masih sayangkan Safa. Allah nak tunjukkan pada Safa bahawa hanya dengan mencintai-Nya lah, kita akan bertemu bahagia, bahawa dengan mencintai-Nya lah, kita tidak akan kecewa. Allah sengaja temukan Safa dengan cinta dunia dan bersama orang yang salah, kerana Allah ingin Safa tahu, bahawa kepada Dia lah hati Safa sepatutnya berserah. Ayuhlah sayang, kita kembali pada-Nya. Jangan kecewakan Allah, kerana tiada siapa yang akan membantu Safa nanti jika tiada Allah. Tersenyumlah, hiasilah wajahmu dengan senyuman. Allah tak akan bebankan Safa dengan masalah ini sekiranya Safa tidak mampu untuk menghadapinya. Safa kuat ! Safa kena bangkit daripada kecewa kerana rasukan syaitan cinta nafsu ini sayang, ubati hatimu dengan rindu kepada cinta Allah. Moga hatimu disinari nuur Allah, Safa."
Perlahan-lahan perempuan yang berwajah mirip denganku itu kabur, semakin kabur dan hilang. Tiba-tiba aku melihat bayi kecil bersama seorang wanita. Allah, itu ibuku ! Bayi itu siapa? Kemudian bayi itu membesar, menjadi seorang kanak-kanak yang sudah pandai berjalan dan berlari. Kanak-kanak itu bertukar menjadi seorang gadis kecil memakai baju seragam sekolah rendah, bersama kitab Al-Quran di tangannya. Allah, itu aku ! Setelah itu aku melihat diriku bertukar kepada seorang remaja yang asyik bercinta. Kemudian tiba-tiba aku melihat ibuku. Dia menangis ! Dan di sudut dinding, aku jiga menangis. Aku mendengar tangisanku sendiri, tangisan yang kecewa ditinggalkan cinta. Tangisan kecewa, yang dilandaskan pada insan yang tak sepatutnya. Dan aku terbangun dari tidurku. Pipiku basah, menangiskah aku ? Aku mengenang kembali mimpiku, tentang gadis yang berwajah miripku, senyumannya manis sekali. Tentang aku dalam mimpiku. Semasa aku bayi, ibu sepertinya sangat gembira. Kemudian aku meningkat dewasa, aku memeluk Al-Quran. Ya, aku masih ingat, saat itu aku mengenal Al-Quran, aku mengenal Allah. Kemudian aku menjadi remaja yang asyik bercinta, dan ibuku menangis? Kecewakah ibu padaku?
Allah ! Baharu ku sedar, mungkin ini petunjuk dari-Mu ! Aku sudah lama tidak membaca kitab-Mu, aku juga sudah lama tidak mengingati-Mu, aku sudah tidak mengenal-Mu dan kitab-Mu ! Seraya itu juga air mataku mengalir deras ! Ya Allah, hamba-Mu ini alpa. Kenapa di saat aku gembira, aku selalu tidak sedar itu nikmatmu ya Allah ? Kenapa saat aku sedih dan bermasalah, kenapa di waktu susahku, baru ku mengingati-Mu ? Allah, aku hanyut dengan fatamorgana dunia. Aku bergantung harap pada insan yang tidak halal bagiku dan bukan pada-Mu, penciptaku. Allah, segala puji bagi-Mu. Ampunkan aku Allah, ampunkan dosaku ! Tunjukkan kepadaku jalan lurus-Mu, tunjukkan aku jalan kembali pada-Mu, berikan cahaya-Mu kepadaku. Allah, hidayah-Mu amat aku perlukan. Mungkin ini jawapan kepada kegelisahan dan keluh-kesahku kebelakangan ini. Aku yakin, ini jawapan-Mu Ya Allah ! Cara-Mu memikat hatiku untuk jatuh cinta kepada-Mu amat indah, penuh tarbiyah. Engaku biarkan aku terluka agar aku sedar. Ya Allah, aku bersyukur di atas kesedaran ini. Allah, ampunkan aku. Tetapkanlah hatiku ini Ya Allah, kekalkanlah rasa kehambaan ini. Jangan Engkau ambil kembali hidayah yang Engkau kurniakan kepadaku ini Ya Allah. Aku berlindung kepada-Mu ! Aku akan melupakan dia, mungkin bukan dia yang Engkau tetapkan buatku. Allah, aku jatuh cinta kepada-Mu ! Malam itu aku akhiri dengan bersujud syukur kepada Ilahi.
Sejak malam itu, janjiku hanyalah aku akan setia pada Allah kerana aku tau ganjarannya, Allah tidak akan pernah pergi jauh dariku. Bahkan Allah sentiasa dekat, kerana Allah akan sentiasa ada di dalam hatiku. Andai aku terluka, Allah yang memujukku dengan ayat-ayat cinta-Nya yang tiada tandingan di dunia ini. Jika aku alpa, Allah mendetikkan kembali hatiku untuk mengingatinya. Sekiranya hatiku disapa kemarahan, Allah mengajarku cara kekasih-Nya Rasulullah mentarbiyah ummah untuk meredakan kemarahan. Dan ternyata cinta Allah tidak pernah mengecewakan aku ! Allah sentiasa ada kejutannya untuk membahagiakan aku. Jika aku perlukan seseorang untuk ku luahkan ceritaku, Allah akan sentiasa mendengarkan aku. Jika aku perlukan seseorang untuk berbicara denganku, Allah akan sentiasa berbicara denganku. Aku mula sedar, indahnya bercinta dengan Allah. Indahnya dunia jika dalam hati Allah menemani.
"Allah love, we love you so. Give us health and make us grow.", telefon bimbitku berbunyi menyedarkan aku dari lamunan tentang kisah laluku. Terlalu jauh aku mengenang kisah itu, namun itu sudah diaturkan oleh Allah. Biarkan kisah lalu itu menjadi pendorong buatku kini. Kertas-kartas yang sudah renyuk di genggamanku aku ratakan semula, lalu aku koyakkan helaian kertas itu menjadi kepingan kecil. Biarlah kisah aku dan dia tamat di sini ! Tak inginku kenang lagi, kerana aku ingin taat setiaku hanya pada Dia, dan juga pada dia.
Kedengaran ketukan lembut di pintu. Sejurus setelah itu, muncul ibuku dari muka pintu. Ku lemparkan senyum paling manis buat insan yang ku sayang ini. "Safa, jum kita keluar. Keluarga pengantin lelaki tengah tunggu Safa, nak bincang pasal majlis kita.", ujar ibu sambil memeluk bahuku. Mungkin ibu mengerti perasaanku, dan mungkin ibu menyampaikan helaian kertas tadi kepadaku kerana ibu ingin aku menghapuskan terus kenangan laluku tentang insan itu sebelum aku bergelar isteri kepada lelaki yang Allah pilihkan untukku. Terima kasih ibu ! Aku bangkit, melihat wajahku di cermin. Aku sarungkan tudung dan stoking. Aku yakin pilihan ku kali ini sesungguhnya tepat ! Allah memberikan jawapannya dalam istikharahku. Setelah aku menjadi miliknya yang halal, aku ingin setia hanya pada-Nya dan dia, syurgaku kelak di bawah tapak kakinya. Aku yakin, dialah insan yang akan bersamaku mengemudi bahtera cinta hingga ke syurga.
Dan aku melangkah keluar dengan senyuman.....
No comments:
Post a Comment