Kringg! Kringg! Hari pertama sekolah!
Pagi itu aku bangun awal daripada yang biasa, berdebar-debar rasa dadaku. Cepat-cepat bibirku kubasahi dengan zikrullah buat menenang debar yang semakin menggila di dada. Sesungguhnya dengan mengingati Allah hati akan menjadi tenang. Ku capai tuala dan kain di belakang pintu.
"Bismillahirrahmanirrahim. Sahaja aku mandi untuk membersihkan diriku kerana Allah Ta'ala." bisikku seraya menuangkan air di dalam gayung ke badanku. Semoga dengan mandi ini akan mengurangkan debar dadaku. Ah, sejuk! Aku ternyata salah. Debaran itu bukannya semakin membaik malah semakin kuat pula sehingga mukaku terasa pucat tak berdarah, bagai berdansa mengikut irama 60-an. "Allah. Huraikanlah simpulan hatiku ini." bisikku sendiri. Kringg! Siren nervous berbunyi kuat di kepala! Terasa hendak mengalir air mataku dek kerana menahan debaran itu. Inilah bahana hari pertama sekolah dengan agenda baharu!
Selesai solat aku berdoa, panjang. "Dengan nama-Mu yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang, Allah. Segala puji bagi-Mu yang mencipta sekalian alam. Ku panjatkan kesyukuran ke atas-Mu ya Allah kerana dengan limpah kurnia serta rahmat-Mu, aku masih bernafas pada hari ini. Untuk terus berjuang menegakkan ilmu-Mu, untuk terus berjuang menegakkan deen-Mu di atas muka bumi ini. Ya Allah, aku tahu Engkau dekat denganku, pertolongan-Mu dekat selagi aku memohonnya. Maka, Engkau tenangkanlah hatiku yang semakin rancak berdebar ini. Permudahkanlah urusanku di hari pertama sekolah sesi 2012 di mana aku merupakan pelajar Tingkatan 5 di sekolahku. Permudahkan agenda tahun baruku, permudahkanlah aku memulakan perubahan untuk kebaikkan diriku sendiri dan juga warga di sekelilingku. Ya Allah, kurniakanlah hidayah kepada setiap jiwa yang matanya memandangku dengan pandangan kerana-Mu, dan kepada mereka yang matanya memandangku dengan diiringi kejian beserta umpatan. Semoga dengan melihatku, mereka akan sentiasa mengingati-Mu sebagai Pencipta aku dan Pencipta mereka. Ya Allah, Engkau luruskanlah niatku, bantulah aku untuk istiqamah dengan agendaku yang baharu aku ingin mulakan pada hari ini, setelah sekian lama impian itu tersemat di dadaku. Rabbana atina milladun karahmah, wahaiyiklana min amrina rashada. Allahumma amin." doa ku akhiri dengan sepotong doa daripada surah Al-Kahfi, yang dibacakan oleh 7 pemuda beriman yang mendapat kemudahan urusan oleh Allah. Moga urusanku juga diberi kemudahan oleh Allah sebagaimana mereka diberi kemudahan.
Pakaian seragam sekolah sudah tersarung kemas di tubuhku, tinggal tudung sahaja lagi yang belum ku capai. Aku bangkit ke arah katil, duduk dan merenung dua helai tudung yang tergantung di almari. Semalam kesemua pakaian seragam sekolah telah ku seterika termasuk dua helai tudung itu. Ku renung satu persatu, sehelai berukuran 45 bidang manakala tudung yang lagi satu berukuran 60 bidang. Kalau sebelum ini aku biasa memakai tudung sekolah yang berukuran 45 bidang, tetapi agenda tahun ini aku berazam ingin memakai tudung 60 bidang yakni tudung labuh. Dadaku masih berdebar-debar. Semakin ku renung tudung-tudung itu, semakin berdebar-debar pula rasanya dadaku ini. Allah.
Aku mengeluh perlahan. Lantas aku bangun, dengan lafaz bismillahirrahmanirrahim aku capai tudung yang biasa ku pakai dan ku gantungkan kembali dalam almari. Tudung labuh hitam itu ku sarungkan ke kepala. Aku membelek-belek rupaku di cermin. "Subhanallah, cantik jugak aku pakai tudung labuh!" desisku sendirian sambil tersenyum lebar. Kringg! Siren bangga berbunyi kuat di kepala. Astaghfirullahal'adzim! Allah, jauhkanlah aku daripada sikap ujub dan riak. Biarlah aku bertudung labuh untuk kebaikan diriku sendiri. Biarlah dengan tudung labuh itu aku merasa lebih terjaga. Bukan tanda alimnya diriku, tapi dengan tudung labuh itulah aku belajar dan masih belajar untuk menjadi seorang muslimah sesuai dengan cara pemakaianku.
Setelah aku merasakan penampilanku kemas, ku pakaikan beg ke bahu dan melangkah keluar dari bilik. Mata ibu menyapa, ibu menaikkan keningnya kepadaku. Mungkin sedikit kehairanan kerana aku langsung tidak memaklumkan niatku untuk bertudung labuh ke sekolah kepadanya. Ibu diam, namun tidak tersenyum. Aku memaniskan mukaku padanya. "Biarlah aku yang tersenyum pada ibu, mudah-mudahan dengan senyumanku ibu juga akan tersenyum." fikirku sambil tetap tersenyum. Ibu tetap diam sambil membetulkan tudungnya.
"Ibu, adik dah siap. Ibu hantar adik pergi sekolah hari ni kan?" aku menyoal memecah kesunyian antara aku dan ibu. Ibu hanya mengangguk. "Naik kereta atau naik motosikal?" soalku lagi. "Kereta." jawab ibu pendek. Alhamdulillah, pujian bagi-Mu Allah. Aku sememangnya sangat-sangat mengelak untuk menaiki motosikal ke sekolah, apatah lagi jika aku membonceng di belakang. Hal ini kerana aku kurang suka, bimbang angin yang bertiup menyelak kainku. Auratku bisa tersingkap. Nau'dzubillah! Auratku, maruahku. Aku sendiri tak pasti sejak bila aku begitu mementingkan soal auratku. Ya benarlah kalam Allah, hidayah itu milik-Nya. Allah berhak memberi petunjuk kepada orang yang dihendakinya dan berhak untuk tidak memberikan petunjuk kepada orang yang tidak dikehendakinya. Moga Allah sentiasa berkehendak mengurniakan aku dengan hidayah-Nya, contohnya untuk istiqamah menutup aurat. Aku senyum sendiri.
Sesampai di sekolah, debaran dadaku kian terasa. Tangan yang ibu hulurkan kusambut, ibu cium pipiku. "Adik, kuat ya?" ujar ibu sambil tersenyum, tanda memberi kekuatan. Alhamdulillah, ibu sepertinya memahami gelojak rasaku saat itu. Aku hanya mengangguk dan mengukirkan senyuman buat ibu. Perlahan-lahan aku keluar daripada kereta. Mata ku pejam, erat. Mencari kekuatan untuk meneruskan langkah. "Bismillahi tawakkaltu 'alallah, la haulawwala quwwataillabillah. Hasbunallah ni'mal wakil." Bibirku laju melafazkan doa sambil memulakan langkah. Cukuplah Allah sebagai pelindungku dan Allah adalah sebaik-baik pelindung. Kepada Allah aku bertawakkal, innallaha yuhibbu mutawakkilin! Mengingati Allah sememangnya membuai jiwaku untuk tenang.
"Assalamu'alaikum warahmatullah." salam kuhulur seraya melangkahkan kaki masuk ke dalam kelas baharuku, 5 Sains Bestari.
"Wa'alaikumussalam." kedengaran beberapa orang menjawab salam.
"Nazirah! Kita rindu awak sangat-sangat!" tiba-tiba kedengaran suatu suara berkata sambil orangnya meluru ke arahku. Pantas tubuhku ditarik ke pelukannya.
"Nazirah pun rindu awak sangat-sangat-sangat, sampai termimpi-mimpi la sayang." ujarku sambil membalas pelukan Husna, teman baikku. Aku melepas pelukan lalu merenung Husna.
"Eh Cik Husna, kenapa langsung tak dapat nak contact handphone bapa awak? Sedihnya, dua bulan cuti langsung tak berhubung ngan awak. Sedih ni." sambungku berpura-pura merajuk.
"Alaa, maaflah Cik Nazirah. Kita lupa nak bagitau awak, bapa kita balik Medan la. Bulan Februari nanti baru balik. Sebab tu tak dapat dihubungi, maybe la. Kita pun tak pasti." jawab Husna lalu menarik sengih. Lesung pipit di pipinya menarik perhatianku. Pantas tanganku mendarat di pipi Husna.
"Ah, sakitlah! Apa ni Ustazah Nazirah, main cubit-cubit ni?" Husna mengaduh sakit.
Tapi, dia panggil aku apa? Ustazah Nazirah? Serentak dengan berulangnya dua perkataan itu di mindaku, jantung terasa berhenti berdegup seketika. Aku tunduk, malu. Memang perkara-perkara seperti panggilan ustazah sudah ku agak daripada teman-teman, tapi mungkin aku tidak pernah terfikir bahawa sahabat baikku sendiri yang memulakannya. "Sabar Nazirah, ini jalan yang kau pilih. Dan setiap jalan yang menuju kebaikan itu tidak akan selamanya mudah. Inilah ujian daripada Allah, bersabarlah kalau kamu benar-benar beriman." bisikku pada diriku sendiri, mencari semangat. Aku mengangkat muka, merenung Husna dan tersenyum.
Hari pertama persekolahan berlalu dengan perlahan sekali, pada pendapatku. Apa khabar hatiku? Sedikit sakit, cedera dan luka. Pandangan guru-guru kepadaku seakan-akan aneh. Senyuman yang terukir di bibir-bibir mereka bagaikan sinis. Cukup untuk menghiris-hiris luka sekeping hati kecilku. Tiada suara yang berkata-kata atau menyapa, tapi cukup dengan senyuman-senyuman sini yang dilemparkan itu buat aku mengerti. Aku mengerti maksud di sebalik jelingan mata, senyuman yang tersungging di bibir itu. Ya, aku tahu! Namun ku tabahkan jua hatiku untuk membalas senyuman mereka. Tapi, tawar!
Tawarnya senyumanku tidak bergula sehinggakan Husna menegur dengan gurauannya. "Nazirahku sayang, awak tak minum banyak gula eh cuti sekolah dulu?" dan aku hanya membalas dengan tawa kecil. Husna, aku tahu hati dia baik. Dia sekadar ingin mengusikku, bukan untuk menyakiti hatiku. Mana mungkin Husna sanggup menyakitkan aku hanya kerana sehelai tudung labuh yang tersarung di kepalaku. Aku sudah pernah mengkhabarkan kepada Husna bahawa aku ada impian untuk bertudung labuh ke sekolah. Jadi, jikalau benar Husna seangkatan dengan yang lain untuk memboikot keputusanku bertudung labuh, mengapa dia masih bersama-samaku sepanjang hari itu? Aku menghela nafas, alhamdulillah.
Waktu persekolah sudah tamat! Aku melirik jam di tangan kiriku, 20 minit lagi pukul 3 petang. "Ya Allah, waktu fardu Zuhur sudah lama berlalu. Aku belum solat!" keluhku. Aku hampa, sangat-sangat hampa. Aku belum menunaikan kewajipanku beribadat kepada Allah sedangkan waktu Zuhur sudah dua jam berlalu. Melewatkan solat adalah satu perkara yang sangat-sangat aku cuba untuk elakkan sepanjang cuti sekolah. Tapi bila dah masuk sekolah balik, ini yang berlaku? Serius, hampa yang sangat! Waktu persekolahan di sekolahku berakhir sangat lewat berbanding sekolah-sekolah menengah yang lain. Seperti tidak mementingkan waktu solat, sedangkan lebih 50 peratus daripada pelajar dan guru-guru adalah beragama Islam.
Aku dan Husna berjalan beriringan keluar kelas. Tiba-tiba terdengar gelak ketawa dari arah belakang. Telingaku berdesing! Kringg! Siren bala berbunyi kuat, berdesing!
"Ustazah pilihan la! Weiweeet!" laung suara seorang pelajar lelaki.
"Weitweeeeeeeeeu! Gadis ayu, senyummu menawan! Gadis ayu, lesung pipit di pipi!" sambung sahabat kepada pelajar yang tadi. Dia menyanyi-nyanyi lagu Gadis Ayu.
"Gadis ayu, memang ayu!" sambut semua ahli kumpulan pelajar-pelajar lelaki itu. Gelak ketawa mereka sekali lagi pecah.
"Sabar Nazirah, sabar. Ini dugaan. Mulut manusia, mana kau boleh tutup?" seruku pada hati, memohon kesabaran. Aku berpaling. Senyuman ku lemparkan pada mereka. "Kita dah besar kan, jadi kenapa nak buat bising di sekolah?" tegurku. Mendengar kata-kataku, mereka gelak besar lagi.
"Gelaklah, gelak puas-puas hati korang. Moga dengan gelak korang tu, saham akhirat aku bertambah. Amin." bisikku lagi, masih cuba untuk menguatkan semangat yang tinggal seperti kulit telur itu. Husna mendengus seraya memusingkan badannya menghadap pelajar-pelajar itu.
"Awak semua ni kalau tak kacau orang tak boleh ke? Bising! Korang pakai seluar tak cukup kain tu, ada budak-budak lain kacau?" suara Husna lantang. Mungkin dia juga sakit hati apabila teman baiknya disakiti. Bak kata pepatah, cubit paha kanan, paha kiri juga rasa sakit.
"Wah, gadis ayu ada backup supporter la kawan. Haha!" balas satu suara. Aku kenal suara itu, budak satu taman dengan aku. Biarlah, jiran. Buat apa aku nak bergaduh hanya kerana tudung ini. Aku tidak berpaling, terus berdiri kaku di situ.
"Eh Husna, setahu aku bapak kau jual kain kan?" soal satu suara lagi.
"Kalau bapak aku jual kain sekalipun, bapak aku tak sudi nak jual kat awak semua. Budak jahat!" jawab Husna. Dari nada suara dan bahasanya, jelas dia juga menahan rasa.
"Oh macam tu. Kawan-kawan, patutlah gadis ayu ni pakai tudung terlebih kain. Sebab bapak kawan dia kan jual kain. Haha!" sambung suara pelajar yang ku kenali itu.
Kata-katanya disambut dengan gelak ketawa oleh kesemua mereka sebelum satu persoalan ditimbulkan oleh seorang pelajar kumpulan itu. "Maksud engkau dengan patutlah dia pakai lebih kain tu apa? Apa kaitannya dengan bapak budak Husna ni jual kain?"
"Kau ni lambat la kawan. Kan Husna kawan ngan gadis ayu. Then bapak Husna pulak jual kain. Jadi, Husna bagi la discount kat gadis ayu ni bila dia beli kain. Tu pasal la tudung dia terlebih kain. Get it?" jawab suara yang ku kenali itu lagi.
Sekali lagi serentak ketawa mereka pecah! Mataku terasa panas, mukaku juga terasa panas berbahang. Aku malu. Husna menarik tanganku, membawa langkahku berlalu dari situ.
"Diam!" jerit satu suara, kuat dan berbaur marah. Kringg! Siren bala lagi! Langkahku serta-merta terhenti. Aku mendongak, kelihatan Puan Hashimah. Guru Penolong Kanan Hal Ehwal Murid itu membesarkan matanya, bergilir-gilir ke arahku dan ke arah pelajar-pelajar lelaki nakal di belakang.
"Naik! Masuk bilik saya sekarang! Semua, termasuk awak!" arahnya, tegas. Jarinya dituding kepadaku.
* * * *
"Awak boleh duduk." kata Puan Hashimah setelah pelajar-pelajar lelaki tadi beredar. Perlahan-lahan aku menarik kerusi, dadaku berdebar-debar lagi. Puan Hashimah merenungku, tajam. "Allah, huraikanlah simpulan hatiku, akalku, mindaku dan lisanku." sempat aku melafazkan doa sebelum memberanikan diri bertentang mata dengan Puan Hashimah.
"Nazirah, boleh saya tanya awak?" soal Puan Hashimah memecah kebisuan. Aku mengangguk. "Awak tahu awak sekolah kat sekolah yang tak ada aliran sains agama, kan?" soalan itu buat aku terpana. Angguk lagi. Aku menarik nafas panjang. Siren bala sudah berbunyi di dalam kepala buat yang kesekian kalinya hari ini. Aku tahu, aku cukup tahu apa yang bakal Puan Hashimah katakan. Sudah banyak kisah seperti ini yang ku baca di internet sebagai persediaan awal. Tapi, tak mungkin secepat ini! "Bismillahi tawakkaltu 'alallah!" laju lidahku membaca kalimah itu, berulang-ulang.
"Kenapa awak pakai tudung labuh ni?" soalnya. Aku diam, tak berniat untuk menuturkan apa-apa.
"Saya tahu, mungkin niat awak baik nak pakai labuh-labuh ni semua. Tapi, macam kurang patut la awak pakai. Sekolah ni sekolah biasa, bukan sekolah agama. Jadi, kami pihak sekolah tak ada paksaan dengan cara awak semua bertudung pendek ataupun singkat. Cukuplah sekadar menutup bahagian dada tu. Tak perlu pakai ni tudung labuh-labuh. Macam satu dalam seribu kalau awak pakai ni pun. Nampak pelik, nampak terasing. Lain daripada yang lain. Kawan-kawan awak tak pulak sibuk nak pakai. Kalau adapun yang pakai labuh sama dengan awak, seorang je la kot. Cikgu Siti. Tapi tu takpa lagi, cikgu kan. Tapi awak ni pelajar. Tak ke guru-guru tengok awak lain macam. Bukan budak sekolah agama, tapi pakaian mengalahkan budak sekolah agama. Saya harap awak faham, Nazirah. Bukannya saya hendak mengongkong keinginan awak nak bertudung labuh. Jauh sekali hendak menafikan awak punya hak asasi manusia. Tapi tolonglah Nazirah, hal awak ni boleh jadi isu yang besar kat sekolah kita. Belum sampai satu hari penuh lagi pun, saya dah dengar macam-macam cerita tentang awak ni dalam bilik guru waktu rehat tadi. Macam mana dengan hari-hari seterusnya lepas ni? Guru kelas awak bising cakap awak ni bajet baik, berlagak beriman tu semua. Saya tak nak dengar la benda-benda macam tu daripada mulut guru-guru dan kawan-kawan awak yang lain. Awak tak malu ke dengan umpat-umpatan orang sekeliling? Pengetua pun tadi ada tegur jugak perkara ni dengan saya, tapi pengetua cakap je. Dia tak bising. Tapi walaupun pengetua tak bising, ramai je yang bising. Jadi, saya harap kalau awak tak nak dengar umpat-umpatan orang, keji-kejian orang, kalau awak tak nak orang pandang awak sinis, esok awak pakai baliklah tudung lama awak yang tak labuh tu. Tak ada bezapun tudung labuh awak tu dengan tudung singkat tutup dada. Kalau tudung labuh awak tu tutup dada, tudung singkap saya ni pun apa kurangnya. Tutup dada jugak, kan? Tak ada keistimewaan pun, yang seksanya awak. Panas kan?" soalan itu mengakhiri khutbah Puan Hashimah padaku. Bicaranya meluncur laju keluar daripada mulutnya tanpa memberi sedikit peluang pun untukku aku mencelah dan menyangkal kata-katanya.
Setelah itu, aku disuruh keluar dari biliknya. Aku melangkah perlahan, selangkah demi selangkah. Mindaku kembali mengulang tayang kata-kata Puan Hashimah. "Sekolah ni sekolah biasa, bukan sekolah agama. Bukan budak sekolah agama, tapi pakaian mengalahkan budak sekolah agama. Guru kelas awak bising cakap awak ni bajet baik, berlagak beriman tu semua. Tak ada bezapun tudung labuh awak tu dengan tudung singkat tutup dada. Tak ada keistimewaan pun, yang seksanya awak." kata-kata itu ibarat menabur garam pada hatiku yang sedia luka-luka dan cedera semenjak pagi tadi. Benarlah kata Imam Al-Ghazali dalam teka-tekinya, apakah satu benda yang paling tajam? Jawapannya lidah. Hakikatnya lidah itu lebih tajam daripada mata pedang. Mampu menghiris luka hati. Sedangkan pedang? Mampukan menghiris hati yang tidak terlihat? Allah, sakit. Sakit, sakit sangat. "Allah." bisikku. Air mataku mengalir jatuh ke pipi. Lesu, pilu, perit, pedih, kecewa, hampa. Perkataan-perkataan itu tidak mampu menggambarkan rasa hatiku tika ini.
Semangat yang ku kumpul sudah tumpul. Semuanya habis tidak bersisa. Sedikit demi sedikit dugaan yang menimpaku hari ini mengikis habis stok kesabaranku. Dan akhirnya, aku hanya mampu menangis. Tanpa ada yang memujukku, tanpa ada yang membelaku. "Alangkah bagusnya kalau ada Husna di sampingku saat ini." bisikku lagi. Kringg! Siren untuk membawa aku ke realiti berbunyi kuat di kepala dengan perkataan warning merah! Astaghfirullahal'adzim! Lagi-lagi aku alpa! Mengapa harus dilupa Allah itu ada? Mengapa harus dilupa bahawa kepada Allah itulah sepatutnya aku sandarkan hatiku! Mengapa harus dilupa bahawa Allah itu dekat? Mengapa aku selalu lupa bahawa pertolongan Allah juga dekat? Syaratnya aku hanya perlu bersabar. Ya, sabar itu kunci utama sebuah kejayaan. Berkat kesabaran Rasulullah jugalah baginda akhirnya berjaya menegakkan panji-panji Islam di muka bumi. Dugaan baginda lebih hebat, malah sangat-sangat hebat. Tak cukup dengan penindasan dan penghinaan, tapi juga dengan cara halus iaitu ditawarkan harta yang banyak, pangkat yang tinggi dan wanita yang cantik. Sedangkan aku? Dugaan hanyalah berupa kata-kata. Kenapa aku tidak mengambil pengajaran daripada kisah kekasih Allah itu? Dugaan baharu sedikit, aku sudah berputus asa? Na'udzubillah min zalik! Alhamdulillah, Allah sedia membelaku.
Malam itu selesai fardu Isyak, aku berteleku panjang di tempat solat. Kata-kata pedas Puan Hashimah kembali terngiang-ngiang di telingaku. "Jadi, saya harap kalau awak tak nak dengar umpat-umpatan orang, keji-kejian orang, kalau awak tak nak orang pandang awak sinis, esok awak pakai baliklah tudung lama awak yang tak labuh tu." Jelas di situ, Puan Hashimah sebenarnya tidak ingin melihat aku datang ke sekolah dengan memakai tudung labuh lagi. Aku buntu! "Tapi aku tak nak berhenti setakat ini." hatiku menjawab, tegas. Aku sememangnya tak ingin menurut kehendak Puan Hashimah.
Aku tak langgar peraturan sekolah. Aku tak ganggu Puan Hashimah dengan tudung labuh itu, malah jauh sekali mengganggu pelajar yang lain. Aku tak ganggu waktu pembelajaran, kelas pagi tadi masih berjalan seperti biasa. Hakikatnya aku tak ada buat apa-apa kesalahan pun. Aku hanya bertudung labuh. Kenapa, apakah ini jenayah? Sejak bila kerajaan gubal undang-undang yang melabelkan seseorang yang bertudung labuh itu sebagai perbuatan jenayah? Aku menghela nafas, panjang. Kringg! Siren nakal berbunyi kuat di kepala. Tiba-tiba mindaku dipenuhi pelbagai idea-idea nakal! Ya, memang nakal tapi? Tapi cukup bernas! Aku menarik sengih. Allah, I'm going to do this. I need Your helping hand, Ya Allahurabbi.
Teringat dahulu kata-kata seorang kakak padaku. "Kalau kita nak nasihatkan atau tegur seseorang tu, kita kena ikut rentak game yang dia main. Kalau rancak, maka rancak jugak la style kita nak tegur dia. Kalau slow, maka kita pun kena ikut irama slow. Maksud akak, dalam dakwah, kita tak boleh nak ikut cara kita je. Kena ikut la golongan yang didakwah tu bagaimana. Kalau yang rock kapak habis, takkan kita still nak guna cara yang sama dakwah kat budak-budak sekolah yang masih bersopan-santun walaupun kurang pengetahuan agama kot. Ikut flow dia. Kalau dia nakal, kena tackle hati dia dengan cara yang nakal jugak. Tapi, kena faham la definisi nakal akak tu. Bukannya maksud akak, nakal tu jahat. Tapi pandai-pandai la kita guna cara dia walaupun susahnya seribu satu dugaan. Walaupun ikut flow dia, tapi dakwah tetap dengan cara Rasulullah, bil hikmah. Ikut skema Allah dan Rasul." Aku tersenyum, saat mendengar kata kakak itu, memang ramai sisters yang tersengih panjang mendengarnya. Bab dakwah kepada Puan Hashimah ni pulak aku nak kategorikan dengan flow apa? Flow garang? Oh no, tu bukan bil hikmah namanya. Biarlah, cara nakal! Aku tersengih seorang. "Nazirah, senyum seorang makruh tau!" Kringg! Siren amaran berbunyi kuat.
Pagi itu aku bangun dengan senyuman. "Alhamdulillah, terima kasih Allah kerana masih memberikan aku kesempatan untuk bernafas pada hari ini." Lantas aku bangkit dan bersiap. Selesai mandi dan solat, ku sarungkan pakaian seragam sekolah ke tubuh. Ku capai tudung labuh, ku pakaikan ke kepala. Aku tersenyum melihat diriku di biasan pada cermin. "Hari ini ada misi!" kataku sambil tersenyum kecil. Semangat yang semalam bagaikan sudah tumpul kini memenuhi ruang hatiku. Terasa tidak sabar untuk memulakan tugasku, membetulkan fikiran seorang Puan Hashimah! Kemudian aku melirik kepada barang-barang yang sudah ku sediakan sejak malam tadi. Tiga biji gula-gula getah, aku tersenyum. Barang-barang itu ku masukkan ke dalam beg sekolah.
"Ibu, adik pergi sekolah jalan kaki!" jeritku pada ibu di dapur. Malas ingin bersarapan, mungkin kerana ceria yang terlebih doa hari ini.
Hari itu nampaknya tiada bezanya daripada semalam. Masih sama. Masih ada guru-guru yang memandang sinis ke arahku. Masih ada pelajar-pelajar yang menyombongkan diri padaku. Masih ada suara-suara sumbang mengejekku, hanya kerana sehelai tudung. Guru-guru yang aku tegur juga seolah berpura-pura tidak mendengar sapaanku. Hanya Husna yang sentiasa berdamping denganku. "La ba'sa, moga jadi pelebur dosa." bisikku memujuk hati. Doa Rasulullah ketika menjenguk orang yang sakit itu ku gunakan untuk melebur kepedihan hatiku. Kenapa tidak? Doa itu membawa maksud yang baik. Pelebur dosa, bukankah itu elok? Dan sememangnya Rasulullah ada bersabda bahawa tiadalah seorang muslim itu merasa sakit, mendapat musibah dan berdukacita melainkan dosa-dosa kecilnya terhapus. Alhamdulillah! Alangkah indahnya hari ini. Hanya dengan mengingati Allah, kesedihan itu umpama tiada apa-apanya bagiku. Waktu berlalu penuh keceriaan biarpun ada mata dengki yang memandang. "Biarkan, kau masih ada agenda penting tengahari ini!" desisku.
Tengahari itu seusai waktu persekolahan, aku ke surau sekolah untuk menunaikan solat fardu Zuhur. Setelah itu, aku pergi ke pejabat pentadbiran. Niat di hati ingin bertemu Puan Hashimah. Kringg! Siren tuah berbunyi nyaring. Rabbana atina milladun karahmah, wahaiyiklana min amrina rashada. Ya Allah, huraikanlah simpulan minda, akal, hati dan juga simpulan di lisanku. Allahumma amin!
"Assalamu'alaikum warahmatullah Puan Hashimah." dia hanya mengangguk, aku melemparkan senyum.
"Puan, izinkan saya bercakap sedikit ya. Pertama sekali saya nak mintak maaf kat Puan dan warga sekolah yang lain sebab saya tak mampu untuk mengikut kehendak majoriti yang menginginkan saya kembali memakai tudung yang biasa saya pakai tahun lepas. Sebaliknya, saya hanya mampu meneruskan dengan memakai tudung 60 bidang ini yakni tudung labuh."Aku berhenti sebentar, menelan liur. Mencari kekuatan untuk meneruskan misiku!
"Maaf Puan. Tapi sebagai Penolong Kanan HEM, saya amat yakin Puan lebih arif berbanding saya tentang peraturan pakaian sekolah. Jadi semalam, saya mula risau. Bimbang bahawa dengan tudung labuh yang saya pakai ini, saya telah melanggar peraturan sekolah kerana sekolah ini bukan sekolah menengah agama. Jadi Puan Hasimah, saya telah menyemak kembali segala peraturan tentang etika pakaian pelajar perempuan Islam dalam buku Satu Catatan Ilmu yang dibekalkan oleh pihak sekolah.Dalam tu yang saya baca ada empat peraturan je yang perlu dipatuhi. Peraturan yang menyentuh tentang pemakaian tudung pula ada dua. Yang pertama pelajar perempuan Islam hendaklah memakai kain tudung kepala dengan syarat kain tudung itu berwarna putih, berbentuk tiga segi dua sama dan berukuran sesuai dengan murid yang memakainya. Peraturan yang kedua pula pelajar perempuan hendaklah memakai kain tudung kepala berbentuk mini telekung berwarna putih. Pada pandangan saya, kedua-dua peraturan tu macam pilihan, sama ada saya nak pakai tudung berbentuk tiga segi dua sama ataupun tudung berbentuk mini telekung. Jadi, tudung labuh yang saya pakai ni kan bulat, jadi saya ikut peraturan sekolah dengan memakai tudung potongan mini telekung. Berkaitan dengan warna pula. Memandangkan saya seorang pengawas sekolah, jadi pihak sekolah telah mengarahkan kami untuk memakai tudung berwarna hitam . Jadi, tidak menjadi masalah juga untuk saya memakai tudung labuh hitam ini." Ujarku lembut, bimbang akan reaksi Puan Hashimah. DIa merenungku, tapi aku gagal mentafsirkan apakah maksud di sebalik renungan itu.
"Saya harap Puan Hashimah faham." sambungku lagi sepatah-sepatah.
"Ya, saya faham. Saya cukup tahu apa yang awak katakan sebentar tadi. Saya dah hafal pun peraturan-peraturan tu dan awak, tak perlu bagitahu saya." ujar Puan Hashimah. Masih merenungku, aku diam.
Puan Hashimah menarik nafas panjang, dan melepaskan kumpulan udara di dadanya dengan satu keluhan. Dia masih memandang ke arahku, tajam.
"Nazirah, saya tahu bukan niat awak hendak mengajar saya. Andai saya kat tempat awak pun, mungkin saya akan lakukan perkara yang awak buat ni." sambung Puan Hashimah.
"Saya tak cakap pun benda awak buat ni luar alam ke, jenayah ke ataupun salah. Cuma, saya rasa awak nak bertudung labuh tak kena tempatnya." Aku hanya tersenyum mendengar kata-kata itu. Tak kena tempatnya? Habis tu, semua benda kena buat ikut tempat ke? Tak ke hipokrit namanya kalau macam tu. Contohnya kalau selalu masjid orang cakap tempat menunaikan solat. Jadi, kalau semua benda kena ikut tempat, kalau orang solat kat rumah je dan bukan kat masjid, maksudnya tak kena tempatlah ek? Gitu ke? Pelik! Mindaku mula mengulang tayang ayat itu, dan akhirnya menggamit senyum untuk berbunga di bibirku. Kringg! Siren gagal dengan misi pertama berbunyi. "Sabar Nazirah, misi kedua kan masih ada." pujukku pada diri, semangat masih bersisa untuk memperbetulkan pandangan seorang manusia bernama Puan Hashimah tentang tudung labuh.
"Puan, puan suka kan makan gula-gula getah?" soalku laju padanya. Bimbang juga, entah bagaimanalah reaksi Puan Hashimah sebab tiba-tiba aku tanya pasal chewing gum ni. Aku tahu, bukan aku saja yang tahu tapi satu sekolah tahu yang Puan Hashimah memang gilakan chewing gum. Saban waktu, ada sahaja chewing gum yang dikunyahnya di mulut. Bimbang mulut berbau barangkali. Dia hanya mengangguk. Kening kanannya diangkat tinggi, tanda bertanya.
Tiga biji gula-gula getah aku keluarkan dari dalam beg sekolahku. "Puan nak?" soalku sengaja memancing perhatiannya. Dia memandangku dan menghulurkan tangannya. Aku tersenyum. Tiga biji gula-gula getah itu aku asingkan. Gula getah yang pertama, aku bukakan lapisan demi lapisan kulitnya sehinggalah gula getah itu sudah tiada pembalut. Gula getah bogel, sedia untuk dimakan. Puan Hashimah masih lagi menghulurkan tangannya padaku. Aku menggeleng. "Sabar puan." kataku dengan lembut, bibir masih tidak lekang dengan senyuman. Ku tanggalkan lapisan pembalut pada gula getah yang kedua, yang tinggal hanyalah satu lapisan pembalut yang nipis. Lapisan yang menampakkan kedua-dua hujung chewing gum yang berbentuk mini silinder itu. Puan Hashimah merenungku, entah apa yang difikirnya tentang tindakkanku ini. Gula getah yang ketiga aku biarkan, dengan lapisan-lapisan pembalut yang masih molek membalutinya. Ketiga-tiga gula getah itu kemudiannya aku genggam erat.
Aku memandang tepat pada mata Puan Hashimah, namun masih tetap tersenyum. Mencari kekuatan di dalam ketakutan. Mataku melilau ke sudut bilik Puan Hashimah. Ya, itu dia yang aku cari. Sudut yang sedikit berdebu membuatkan aku tak sengaja mengeluarkan tawa kecil. Mataku kembali pada Puan Hashimah. "Puan." ujarnya seraya membaling kesemua gula getah itu ke sudut yang berdebu. Puan Hashimah membesarkan matanya, wajahnya menegang. "Sabar Nazirah, api jangan disiram dengan api." pesanan yang bergema di kepala melahirkan senyuman di bibirku. Aku bangkit daripada kerusi dan melangkah ke sudut bilik. Gula-gula getah itu aku kutip dan kembali duduk di hadapan meja Puan Hashimah.
"Kalau saya bagi pilihan kat Puan Hashimah, puan nak gula-gula getah yang mana?" soalku cuba menduga. Dia mengeluh lagi, mungkin dia sudah mengerti maksud di sebalik tindakkan.
"Teruskan dengan apa yang awak nak bagitahu saya." ujarnya perlahan. Seperti pasrah dengan tindakkanku, atau dia hanya berpura-pura? Sebelum menyembur aku dengan bola api yang tersembunyi di sebalik wajah cantik itu. Kringg! Siren amaran berbunyi lagi, kuat. Astaghfirullahal'adzim! Nazirah, apa ni main buruk sangka. Boleh mendatangkan dosa, tahu? Suara bergema kuat di kepala, cepat-cepat ku beristighfar. Bersangka baik, tak rugi malah itulah amalan batin yang baik.
"Puan. Gula getah pertama yang saya buka lapisannya tadi, ibarat perempuan Islam yang tidak menutup aurat. Atau lebih tepat dalam hal yang saya nak bincangkan bersama puan ini, berkaitan dengan pelajar sekolah yang tidak bertudung. Gula getah kedua pula ibarat pelajar perempuan yang bertudung, tapi tudungnya singkat. Ataupun cukup-cukup, hanya menutup dada sahaja. Dan gula getah yang ketiga, ibarat pelajar perempuan yang bertudung labuh. Bukan maksud saya untuk berbangga diri, puan. Tapi kita dah tengok sendiri melalui gula-gula getah tadi. Kalau saya tanya puan nak yang mana satu, saya pasti puan pilih gula getah yang masih elok berbalut ni. Kenapa macam tu puan? Saya jawab, sebab puan pasti gula getah ni masih bersih, terjaga daripada sebarang kotoran, kan? Macam tu jugak yang saya fikir. Dengan tudung labuh ni, saya yakin diri saya akan lebih terjaga. Macam safeguard peribadi bagi saya. Saya harap sangat-sangat puan faham." aku meluahkan kata-kata itu dengan senyuman di bibir. Moga Puan Hashimah memahamiku dan tidak marah dengan kata-kata itu. Aku bimbang juga. Mana taknya, tak pernah dibuat pelajar berjumpa guru dan bercakap hal-hal seperti ini. Tambahan pula Puan Hashimah itu guru disiplin, Penolong Kanan HEM! Mengenangkan itu, aku menelan liur. Namun, semangat masih utuh untuk menegakkan pendirianku.
"Nazirah, tudung yang awak pakai sebelum ni ukuran 45 bidang kan? Besar jugak tu. Apa bezanya dengan tudung 60 bidang awak ni? Sebelum ni memang tudung awak lebih besar daripada pelajar-pelajar perempuan yang lain. Rasanya tak ada masalah untuk awak terus pakai tudung ukuran 45 bidang tu je. Tetap terjaga, aurat awak tetap tertutup. Tudung lama tu pun nampak labuh jugak, cukup menutup apa yang patut ditutup tu. Saya akui apa yang awak buat demo dengan gula-gula tadi memang betul. Tapi, memang tak kena tempat. Itu yang menjadi masalahnya, ni bukan sekolah menengah agama." ujar Puan Hashimah kepadaku. "Tidak kena tempatnya lagi!" bentak hatiku. Tapi mendengar nada suara itu, aku tahu Puan Hashimah sudah mula berlembut padaku. Tiada lagi mata terjegilnya sepertimana ketika aku mula-mula masuk menemuinya tadi. Mukanya juga sudah mengendur, tidak lagi tegang seperti tadi. "Alhamdulillah, misi sudah sedikit berjaya." pujian ku panjatkan pada Allah.
"Ya puan, memang tudung tu..."
Tok! Tok! Tok! belum sempat aku menghabiskan kata, kedengaran ketukan di pintu.
"Masuk!" arah Puan Hashimah.
"Puan, dalam 15 minit lagi Tuan Pengetua nak jumpa." kata office girl di pejabat itu. Dia berdiri tepat di hadapan stand fan. Tudung singkat yang dipakainya terbuai-buai bersama kipas, sehingga menampakkan dadanya. Kringg! Siren tuah berbunyi buat yang kedua kalinya. "Alhamdulillah wasyukurillah, Allah nak tolong ni. Allah bagi idea seterusnya kat aku." bisikku lalu meraup wajah.
Setelah office girl itu keluar, aku memandang Puan Hashimah dengan senyuman yang memekar di bibir.
"Hah, apa pulak hujah awak kali ni?" soal Puan Hashimah. Sepertinya dia sudah tahu bahawa aku mempunyai misi seterusnya.
"Puan, nampak kan tadi office girl tu pakai tudung singkat?" soalku sengaja.
Dia mengangguk. "Jadi, apa masalahnya? Nampak kan, menutup aurat jugak tu." balasnya masih cuba menegakkan benang yang hampir basah. Mendengar jawapan itu, aku tersenyum.
Aku bangkit lagi dan melangkah ke arah stand fan, berdiri tepat di hadapan kipas yang sedang berpusing ligat itu, level 3 agaknya. Kipas itu membuai-buai tudungku, tetapi tidaklah sampai menampakkan dadaku. Mungkin kerana potongannya yang bulat dan labuh, maka angin yang kuat pun gagal untuk menyelak tudungku. Tekaanku tepat! Nampaknya, misi pasti berjaya. Insya-Allah!
Aku memandang Puan Hashimah lagi, dan terus murah dengan senyuman. "Tadi, masa office girl tu berdiri kat sini dengan tudung singkat tu, apa yang Puan Hashimah nampak?" aku bertanya lagi, sengaja. Bukan untuk menyakitkan hati, tapi berniat untuk menegakkan pilihanku untuk bertudung labuh. Bak kata kakak, ikut flow orang yang kita nak tegur, tapi masih dengan berhikmah. Puan Hashimah seperti berfikir seketika, kemudian memandang ke arahku. Aku pasti dia sudah nampak bayangan apa yang ingin aku suarakan.
"Tudung dia terbuai-buai sehingga menampakkan dada, kan puan?" soalku lagi. Puan Hashimah mengangguk.
"Sedangkan Allah telah memerintahkan dalam Surah Al-Ahzab ayat 59 untuk melabuhkan tudung menutupi dada. Dan saya berdiri di hadapan kipas ni sekarang, anginnya tak mampu nak selak tudung sehingga menampakkan dada saya. Semalam puan cakap tudung labuh ni tak ada keistimewaan pun untuk saya tapi saya terseksa sebab panas. Tapi hari ni rasanya saya dah jumpa satu keistimewaan yang berlaku depan mata kita sendiri. Jadi menurut pemikiran saya, bukan saya yang terseksa. Sebaliknya orang-orang yang bertudung singkat." ujarku perlahan. Mencuba untuk meraih pemahaman Puan Hashimah yang aku memang bersungguh-sungguh ingin bertudung labuh ini. Semangat semakin kuat untuk menegakkan pendirianku!
"Ikut suka awak la Nazirah. Saya dah malas nak komen apa-apa, sebab apa yang awak cakap dari tadi memang semuanya betul. Tapi apa-apa yang jadi lepas ni dengan keputusan awak tu, awak tanggung sendiri. Awak hadapi seorang cemuhan dan pandangan sinis warga sekolah yang lain. Saya tak jamin awak akan boleh belajar seperti biasa." Puan Hashimah mengeluarkan kata itu sambil merenung tepat mataku. Alhamdulillah! Aku menang! Aku berjaya! Menegakkan keadilan di sekolah! Hak asasi aku. Aku tersenyum lebar. Tak apalah kalau orang nak mencemuh, nak pandang sinis kat aku pun. Allah kan ada untuk aku.
"Baiklah Nazirah. Kalau tak ada apa-apa lagi, saya nak keluar ke bilik Pengetua sekarang. Tapi satu lagi saya nak ingatkan awak, kelas-kelas kat sekolah kita tak ada stand fan macam dalam bilik saya ni." Erk! Stand fan? Kata-kata Puan Hashimah bagai melenyapkan kegembiraanku sebentar tadi. Aku menunduk, sedikit malu. Ya, memang tak ada stand fan kat kelas-kelas melainkan kipas yang tersantung kat siling tu. Tapi, hehehe! Bibirku berbunga senyum lagi.
"Ya, memang tak ada stand fan. Terima kasih Puan Hashimah, saya keluar dulu." ucapku seraya bangkit dari tempat duduk. Aku melemparkan senyum. Aku melangkah perlahan ke pintu sambil berfikir, patut ke tak aku teruskan misi terakhir aku. Idea itu baharu saja muncul di minda sewaktu Puan Hashimah membuka kata tentang stand fan tadi. kringg! Siren nakal berbunyi. Sampai di muka pintu, aku menoleh lagi.
"Tapi puan.." aku sengaja berhenti. "Memang tak ada stand fan, tapi fan yang lagi kuat daripada stand fan kan ada. Fan ciptaan original oleh Allah, yakni angin. Ada kat mana-mana pun, bila-bila masa." ujarku. Ah, berani sungguh seorang Nazirah rupanya. Sebenarnya, aku rasa aku ni nakal. Aku menarik senyum dan terus melangkah keluar dari pejabat pentadbiran. Alhamdulillah! Aku berjaya.....
terkesn..baca cemuhn y nazirh kena tu pun sy turut terasa..mcm nk nangis je..ada ke dgn cikgu2 skli pndng sinis T_T.Sbb tu kita kena tahu dan kukhkn pengthuan ats stiap perbuatn y kita lkukan spya dpt menegkkn kebnrn dlm diri demi Allahuakbar!
ReplyDeleteAlhamdulillah. huhu, kisah mcm tu hakikatnya mmg blaku dluar sana. T_T huu. na'am, sohih yg enti ckp.
ReplyDeletesuke..first sebb nma.. second sebb nama..thrd sebb nama.. yg last skali terbaik larh.. mucuk2..:P
ReplyDeleteaishh . da suma sebab nama, bile nak sbb diba ni ? aishh.. T.T
ReplyDelete