"Anis, bangun ! Mengucap sayang. Bangun Anis, kenapa ni ?" tepukan pada dadaku dan suara seseorang mengejutkan aku daripada tidur. Allah, aku tercungap-cungap bagaikan baharu sahaja berlari-lari. Peluh membanjiri tubuhku. Aku terpinga-pinga, di mana aku? Aku lihat di sisiku Imanina merenungku lembut. Aku pejam celikkan mata, aku terlihat surau. Rupa-rupanya aku tertidur di bangku belajar berdekatan surau sekolah. Aku teringatkan soalan Iman. "Iman, Anis mimpi tadi. Anis mimpi abah." tuturku sambil menyeka air mata di pipiku. Termasuk petang ini, sudah empat hari berturut-turut abah muncul dalam mimpiku. Membuatkan aku berasa takut. Mimpi yang berlainan tetapi soalan abah tetap sama setiap kali aku bermimpi. "Anis, kenapa Anis macam tak sayang abah?" persoalan yang mula mengganggu mindaku. Kenapa abah bertanya soalan yang tak mungkin aku ada jawapan? "Anis sayang abah. Sangat-sangat sayangkan abah!" bisikku.
Aku dikejutkan oleh satu tangan yang dihayun-hayun di hadapan mataku. "Anis mengelamun lagi ya? Dahlah Anis, mengucap. Syaitan nak gangu Anis tu." ujar Iman, sahabat sekelasku. Aku cuma mampu tersenyum dek kerana bayangan mimpi-mimpi yang ku alami masih berlegar-legar di ruang fikiran. Allahuakhbar ! Allahuakbar ! Azan berkumandang dari arah surau. "Jom Anis, kita pergi solat dulu ya. Lepas ni, Iman temankan Anis pergi public phone, Anis call abah ya. Anis rindu dia tu." sambung Iman. Hatiku tersentap ! Aku masih menyembunyikan perkara itu walaupun daripada sahabat baikku. Aku sedih mengenangnya. Tiada siapa-siapapun kecuali guru kelasku yang mengetahui bahawa abahku sudah tiga tahun meninggalkan dunia yang fana ini. Aku tak ingin sesiapapun tahu kerana aku tak ingin orang-orang selalu mengingatkan aku tentang itu. Aku anak emas abah, pemergian abah seperti membawa bersama separuh daripada diriku. "Maaf Iman, sebab Anis tak pernah bagitahu Iman. Abah Iman dah pergi jauh !" kata-kata itu ku lontarkan jauh di sudut hati, biarlah tiada yang tahu. Aku mampu simpan sendiri.
Langkah Iman ku turuti. Tidak ingin terlepas solat berjemaah, kami melangkah pantas menuju ke surau. "Ramai jemaah hari ini" kata Iman kepadaku dan aku membalasnya dengan senyuman. Begitulah aku, tidak akan mengeluarkan bicara jika ku rasakan tidak perlu. Sebelumnya, aku bukanlah seorang yang pendiam. Malah, aku seorang gadis yang sangat-sangat periang dengan senyuman yang tidak lekang di bibir. Namun segalanya berubah setelah kematian abah. Aku lebih senang begini. Sejurus selepas solat, Iman terus mengajakku ke pondok telefon. "Takpalah Iman, nanti Anis call abah ya. Baik kita pergi angkat jemuran dulu, tengok awan hitam tu. Nanti hujan, takda uniformlah Anis esok." kataku beralasan, dalam hatiku terbit soalan ini "Anis nak telefon siapa kalau pergi pondok telefon, Iman?" Tapi soalan itu ku simpan kemas.
* * * *
Tujuh hari berlalu, dan fikiranku semakin hari semakin bercelaru dengan semua mimpi ku alami. Mimpiku kini semakin menimbulkan perasaan aneh yang amat sangat. Tanda tanya di kepalaku rasanya sudah sebanyak air hujan yang turun serta sebesar kapal titanic. Kecindan dalam otakku rasanya juga sudah melepasi tahap hiperbola. Dua hari lalu, abah muncul di mimpiku berpakaian serba putih, namun suci putihnya tercemar oleh debu-debu hitam. Abah kenapa sebegitu rupa, hadir pula dalam mimpiku ? Di meja makan hanya ada aku dan abah. "Anis, tolong tuangkan air untuk abah. Abah haus." tanda soal di kepalaku serta-merta hilang dek bicara abah. Aku bangkit, mencari air untuk abah. Aku lihat di tepi singki, jag air kosong. Botol-botol air mineral yang selalunya ada di rak juga kosong? Aneh ! Lantas aku menuju ke peti sejuk, juga kosong ! Aneh ! "Anis, cepat. Tolonglah, abah haus ni Anis. Abah haus sangat." Namun sayang, azan subuh membangunkan aku dari tidur dan membawa mimpi tentang abah pergi bersama kesedaranku. Mimpi yang ku harap bisa menunjukkan aku petanda kepada mimpi-mimpi yang ku alami ternyata gagal, tetapi turut meninggalkan tanda tanya yang tiada bernoktah di benakku.
Semalam abah datang lagi, baju abah semakin hari semakin berdebu, tubuh abah tampak lebih kurus daripada tubuh abah dalam mimpi-mimpi sebelumnya. Abah merenungkan tanpa kata. Mata abah seperti baharu sahaja menangis. Lama abah begitu. Aku tak tahu apa yang patut aku lakukan. Seperti berhadapan dengan imaginasi dengan realiti, kedua-duanya sekali ! Abah tunduk, menangis. Tiba-tiba abah bersuara, "Anis, kenapa Anis macam tak sayang abah? kenapa Anis buat abah macam ni? Tolonglah Anis, jangan pinggirkan abah. Abah perlukan Anis. Anis tak sayangkan abah, tapi sungguh, abah perlukan kasih-sayang Anis. Anis, abah tunggu ya. Tunggu Anis tunjukkan rasa sayang Anis. Ingat abah dalam doamu, anakku." dan abah menghilang lagi ! Belum sempat aku menjawab kata-kata abah, tapi abah pergi lagi ? Abah nak Anis tunjukkan kasih-sayang Anis macam mana, abah? Anis buntu. Jauh lamunan ku pergi mengingati mimpi itu. Semakin aku kenang, semakin hiba aku rasakan. Apa maksud mimpi itu ? Apa, aku tak faham ! Apakah hanya mainan tidurku atau apa yang Allah ingin tunjukkan padaku. Dan aku menangis lagi. Lama.....
"Anis ! Anis menangis lagi? Allah, kenapa ni sayang? Cuba cerita kat Iman. Kenapa nangis ni? Alaa, tak molek tau anak dara menangis." Imanina yang datang ke bangku tempat ku duduk melepas rasa ku peluk erat ! Aku sudah tak sanggup menyimpan persoalan ini sendiri. Allah, aku perlukan teman untuk berbicara soal ini. "Iman, Anis dah tak tahan. Anis sedih. Tiap-tiap malam Anis mimpi abah, Anis takut ! Anis tak tau apa maksud mimpi-mimpi ni. Anis takut, Iman ! Tolong Anis. Abah datang dalam mimpi Anis. Dah tujuh hari, macam mimpi ni ada bawa maksud sendiri. Pertama kali Anis mimpi abah datang kat Anis, abah pakai baju putih, bersih sangat ! Badan abah berisi, nampak macam sihat sangat, abah tembam. Tapi soalan abah buat Anis rasa sedih, pelik. Abah tanya Anis, 'Anis, kenapa Anis macam tak sayang abah?'. Apa maksud abah Anis tu Iman? Anis langsung tak faham. Anis sayang abah sangat. Tiap -tiap mimpi Anis tentang abah, mesti abah tanya soalan yang sama je kat Anis. Tapi Iman, dalam tujuh mimpi Anis tu, abah datang dalam keadaan yangb berbeza. Mula-mula abah nampak sangat sihat, baju bersih. Tapi semakin hari baju abah semakin berdebu, abah comot sangat ! Badan abah makin kurus. Apa maksudnya tu? Dua hari lepas, abah datang dalam mimpi Anis. Abah cakap dia haus, dia mintak air kat Anis. Anis cari la air nak bagi kat abah, tapi yang peliknya masa tu kat rumah Anis langsung tak ada air. Abah mintak lagi, abah cakap dia haus sangat. Tapi Anis nak bagi abah minum apa, dah tak ada air. Lepas ni Anis sedar. Semalam pun abah muncul dalam mimpi Anis. Baju abah berdebu, dah tak ada yang putih dah. Baju abah ada bahagian yang koyak, keadaan abah macam dhaif sangat. Abah menangis, abah tengok Anis, lama. Anis tak tahu nak buat apa. Kemudian abah cakap 'Anis, kenapa Anis macam tak sayang abah? kenapa Anis buat abah macam ni? Tolonglah Anis, jangan pinggirkan abah. Abah perlukan Anis. Anis tak sayangkan abah, tapi sungguh, abah perlukan kasih-sayang Anis. Anis, abah tunggu ya. Tunggu Anis tunjukkan rasa sayang Anis. Ingat abah dalam doamu, anakku.' Iman, Anis takut !", luahku pada Imanina. Air mataku tak henti-henti mengalir. Basah baju Iman dek air mataku.
"Sabar Anis. Iman pun tak tahu apa makna kepada mimpi Anis ni. Anis banyakkan istighfar ya. Iman bimbang yang mimpi tu daripada syaitan, mainan syaitan ke atas Anis. Anis dah cuba call abah Anis ke tak?" Iman menggosok-gosok belakangku. Aku menggeleng, air mataku mengalir lagi. Lebih deras."Iman, maafkan Anis. Anis tak bermaksud nak tipu Iman, tapi Anis tak nak dan Anis takut jika Anis diingatkan lagi tentang abah dan buat Anis menangis. Biarlah Anis kenang sendiri. Anis minta maaf, Iman." jawabku sambil melepaskan pelukan pada badan Imanina lalu menundukkan wajah. "Maksud Anis? Iman tak faham." Iman memandangku dengan muka penuh tanda tanya. Aku menghela nafas panjang. "Abah dah lama pergi." Air mataku turun lagi buat yang kesekian kalinya, Imanina menggeleng-gelengkan kepalanya lalu mendakapku erat. "Allah ! Anis, kenapa Anis simpan sendiri. Sayang jangan buat lagi. Sabar sayang, sabar !" tangisanku berpadu dengan tangisan Iman.
Seusai tazkirah Maghrib, Iman membawaku berjumpa dengan Ustaz Hisyam. Aku menceritakan perihal mimpiku kepada ustaz tanpaku kutinggalkan walau sedikit pun. Jelas, mata Ustaz Hisyam tampak berkaca. Ceritaku tentang mimpi-mimpi itu dijawab hanya dengan sebaris ayat mudah oleh Ustaz Hisyam. "Sedekahkanlah doa untuk abah Anis."
Daripada Abi Hurairah ra : Sesungguhnya Nabi SAW bersabda “Apabila mati seseorang insan, maka terputuslah segala amalanya melainkan tiga (amalan). Sedekah jariah (yang ditinggalkan), ilmu yang bermanfaat (yang diajarkan), dan anak yang soleh yang mendoakannya."
Sebelum melelapkan mata, aku fikir kembali kata-kata ustaz. Ya ! Mungkin itu maksud abah yang aku tak sayangkan dia dalam mimpi-mimpiku. Sebab aku tak mendoakan arwah dalam solatku, sebelum tidurku ataupun bila-bila sahaja. Air itu ? Ya, mungkin itu air yang dimaksudkan abah. Padanlah air yang sebenar-benarnya air tiada di rumah dalam mimpiku itu ! Sudah lama aku tidak menyedekahkah Al-Fatihah untuk abahku. Abah cakap abah haus sangat ! Allah, kesian abah ! Abah, ampunkan Anis ! Abah nak aku tunjukkan kasih-sayangku dengan mendoakan kesejahteraannya di alam kubur. Abah pesan kat aku supaya jangan pinggirkan dia kerana abah nak aku selalu sedekahkan Al-Fatihah untuknya. Abah cakap abah tunggu aku tunjukkan kasih-sayang aku. Dan.. Ya ! Ayat terakhir abah ! 'Ingat abah dalam doamu, anakku.' Allah, ini benar-benar petunjuk-Mu padaku. Lantas aku bangkit ! "Abah, ni Anis datang, bagi air untuk abah. Abah tunggu ya, Anis bagi air doa untuk abah." bisikku sendirian lalu menuju ke bilik wuduk.
"Assalamu'alaikum anak abah. Terima kasih sayang." aku terpinga-pinga. Kelihatan abah di hadapanku, tapi aku tidak bisa melihat dengan jelas. Sirna oleh cahaya. "Kenapa terang sangat ni abah?" soalku. Aku terpana. Aku melihat abah bersama cahaya, muka abah berseri-seri. Ada senyuman manis di bibir abah, senyuman untukku. Baju abah juga putih bersih, badan abah nampak berisi. Abah nampak macam sihat sangat ! Aku tersenyum. Tiba-tiba abah melangkah pergi. "Abah, abah nak pergi mana tu? Anis ikut ya !" kataku lalu bangkit.
"Anis, bangun. Dah subuh ni." suara Iman mengembalikan aku ke alam nyata. Rupa-rupanya aku bermimpi lagi. Abah sihat ? Alhamdulillah ! Aku berazam untuk selalu menuangkan air doa untuk abah. Aku tersenyum , lama....
sayang ayah~
ReplyDeleteya Allah, menitis air mata saat membaca artikel ni..
ReplyDelete